Thursday, 31 December 2015

9 Tips Untuk Ibu Bapa Bakal Hantar Anak Ke Tadika


Assalamualaikum w.b.t.. Mesti ramai yang di antara kita yang akan mula menghantar anak ke tadika.. Alhamdulillah, macam Eraz sendiri pun, Zara akan mula ke tadika tak lama lagi.. Jadi kalau ada masa je, cari la artikel-artikel yang sesuai untuk dibaca sebagai panduan, tips dan persediaan menghantar anak ke tadika.. Bagi yang anak-anak yang biasa berada di nursery dari umur beberapa bulan, mungkin tak de masalah sangat.. Tapi..

Tak semestinya bila dah biasa kat nursery, kita perlu ambil mudah kan.. Keadaan dan suasana antara nursery dan tadika adalah berbeza.. Tapi kena pandai-pandai la ibu bapa menyesuaikan diri dan anak untuk masuk ke fasa seterusnya.. Bagi Eraz, memang tak sabar nak hantar anak ke tadika terpilih sebab sekarang pun sudah nampak dia sudah mula pandai bilang nombor, ingin mengenal warna, baca alif ba ta dan lain-lain.. 

Memang ibu atau papa boleh ajar tapi bila dah tiba masanya, perlu la jugak menghantar anak ke tadika untuk mendapat pendidikan yang formal mengikut umur mereka kan.. So langkah seterusnya sebelum hantar Zara ke tadika, nak kena ajar dan latih dia untuk tidak memakai pampers kan.. Tapi ada tadika untuk boleh latih tapi lebih baik kita sebagai ibu bapa cuba sendiri kan.. Caranya? Boleh rujuk entri INI.. Ok! Untuk tips untuk ibu bapa hantar anak ke tadika untuk kali pertama, berdasarkan rujukan INI, korang boleh baca di bawah :

1. Berbual dan bercerita. Jika anak anda sekarang berumur 3 tahun dan bakal memasuki tadika pada umur 4 tahun di tahun hadapan, mulalah berbual-bual dengannya tentang alam persekolah. Dedahkannya tentang bentuk dan suasana sekolah dan apa yang bakal dia hadapi di sekolah kelak.

2. Pilih bersama. Anda pasti ingin membuat tinjauan tadika yang terbaik di internet atau berjalan-jalan di sekitar perumahan. Bawa anak bersama untuk memilih tadika yang sesuai untuk anak. Apabila anda sudah mempunyai pilihan, nyatakan pilihan itu kepada anak dan katakan kepadanya mengapa anda memilih tadika tersebut.

3. Bawa melawat. Ketika anda hendak mendaftar atau pun mengetahui lebih lanjut tentang sekolah yang telah dipilih, bawalah anak bersama ke sekolah tersebut. Mohon kebenaran pengetua untuk membawa anak meninjau keadaan tadika tersebut dan beri kebebasan kepada anak untuk bertanya. Tunjukkan kelas, tempat bermain, tandas, papan putih, buku dan lain-lain kepada anak. Semoga dia mendapat gambaran yang lebih jelas tentang tadika tersebut.

4. Ceritakan pengalaman anda dahulu. Ceritakan kepada anak tentang pengalaman anda bersekolah dahulu. Kongsikan kenangan manis dan bina sifat-sifat positif dalam diri anak supaya dia dapat rasakan bahawa sekolah itu adalah tempat yang seronok dan selamat.

5. Biasakan anak berdikari. Apabila bermula alam persekolahan maka bermulalah juga episod hidup tanpa ibu dan ayah di sisi. Sesekali tinggalkan anak kepada orang yang dikenali dan katakan kepadanya bahawa anda akan kembali. Inilah yang akan berlaku semasa anak anda mula bersekolah. Kepada yang baru melangkah ke alam persekolahan, ditinggalkan ibu adalah sesuatu yang ditakuti. Berikan kata-kata jaminan dan semangat kepada anak. Katakan kepadanya bahawa anda sayang kepadanya dan akan kembali mengambilnya.

6. Latihan ke tandas. Latihan ini sangat penting. Ke tandas adalah satu keperluan dan cikgu pasti tidak menang tangan untuk menemani anak anda ke tandas. Terangkan kepada anak tentang keselamatan ketika ke tandas dan berada di tandas. Begitu juga bagaiman menjaga kebersihan tandas.

7. Beli barang sekolah bersama. Bawa anak membeli barangan sekolah seperti beg dan alat tulis bersama. Berikan dia sedikit kebebasan untuk memilih warna yang dia suka.

8. Ibu ayah mesti positif. Bukan anak sahaja yang mesti bersedia, ibu dan ayah juga mesti positif menerima perubahan bahawa anak anda sudah besar dan kini tiba masa untuk mereka bersekolah. Sentiasa positif bahawa anak anda mampu untuk ke sekolah.

9. Ibu ayah mesti faham. Bersekolah bermaksud anak akan mula belajar bergaul dengan kawan-kawan baru, bermain bersama, makan bersama, dan belajar juga bersama. Skil komunikasi anak ketika ini sedang berkembang pesat. Kadang-kadang mereka akan bergaduh, menangis dan kecewa. Fahamilah bahawa ini adalah proses bagi mereka. Bantu mereka untuk berhadapan dengan situasi begini dengan baik.

Alhamdulillah, semoga dapat membantu semua di kalangan kita yang akan menghantar anak yang pertama kali ke tadika..

No comments:

Post a Comment

Penulis tidak bertanggungjawab atas apa-apa komen yang ditinggalkan oleh pembaca / pengunjung. Semua komen adalah di bawah tanggungjawab mereka. Sila gunakan bahasa yang sopan. Terima kasih.