Monday, 2 April 2012

Shila Amzah Dilamar Pihak Luar Kerana YouTube tetapi Shila Amzah Belum Bersedia

Nampaknya nyanyian Shila dalam Youtube mendapat perhatian.. Jom baca berita ni..


KUALA LUMPUR : Penyanyi Shila Amzah berkata dia masih belum bersedia untuk mengembangkan kerjaya di pentas antarabangsa walaupun ada menerima pelbagai tawaran daripada pihak luar yang tertarik dengan bakatnya menerusi pautan klip video nyanyiannya di laman You Tube.

Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah berkata pautan pelbagai klip video tersebut sebaliknya bertujuan sebagai medan komunikasi dengan para peminatnya yang berada jauh dari Kuala Lumpur.

“Asalnya, saya memuat naik klip video-klip video itu adalah untuk berkomunikasi dengan para peminat. Saya dapat membaca dan menjawab respons mereka menerusi komen-komen yang ditinggalkan pada laman tersebut.

“Tidak sangka pula, klip video nyanyian saya itu turut mendapat perhatian daripada wakil-wakil syarikat rakaman di luar negara yang menawarkan peluang untuk saya memulakan kerjaya di luar.

“Tetapi, pada waktu ini sejujurnya saya belum bersedia untuk mengembangkan kerjaya ke luar negara, selagi nama saya belum kukuh pada industri muzik sendiri,” katanya kepada mStar Online.

Penulis lagu berusia 22 tahun itu berkata keutamaannya kini adalah untuk melebarkan potensi diri sebagai pengkarya muda menerusi muzik dan personalitinya.

“Peluang untuk menembusi pentas antarabangsa itu akan datang lagi pada masa akan datang jika memang sudah tertulis rezeki saya ke luar.

“Buat masa ini, biarlah saya mengukuhkan diri dan bakat yang ada, selain melonjakkan jenama saya pada khalayak yang lebih luas di Malaysia,” katanya yang pertama kali memuat naik klip video nyanyian lagu Patah Seribu pada Mei 2010.

Ditanya adakah pendekatan tersebut membantu dalam meningkatkan jumlah peminat, anak kepada penyanyi ND Lala ini mengakui ia adalah langkah berkesan yang membuatkan dia semakin dikenali pada hari ini.

“Kalau sebelum saya memuat naik klip video nyanyian di YouTube, jumlah peminat di laman Twitter dan media sosial lain sekitar 50,000 orang.

“Tetapi selepas dua tahun, ia menunjukkan penerimaan yang positif daripada khalayak umum. Kini, jumlah pengikut di laman sosial sudah mencecah sekitar 200,000 orang,” katanya.

Terbaru, Shila yang bakal bekerjasama dengan komposer Datuk M. Nasir dalam program Mania menyifatkan peluang itu sebagai platform terbaik untuk memantapkan dirinya.

“Secara kebetulan, saya dan Datuk adalah penyanyi dan penulis lagu, jadi gandingan ini pasti memberikan perkongsian idea yang baik untuk saya.

“Kalau pun saya hanya mendapat 10 peratus perhatian dan bimbingan daripada Datuk, ia adalah input besar yang sangat bernilai.

“Kita pun tahu, bukan mudah untuk mencuri perhatiannya jika kita hanya menyanyi di luar sana dan tidak terlibat atau bekerjasama dengannya secara langsung,” katanya.

Sumber :



____________________________________

Kalau korang rasa nak tahu info, boleh la klik entri di bawah ni :

Entri menarik yang perlu korang terjah :

No comments:

Post a Comment

Penulis tidak bertanggungjawab atas apa-apa komen yang ditinggalkan oleh pembaca / pengunjung. Semua komen adalah di bawah tanggungjawab mereka. Sila gunakan bahasa yang sopan. Terima kasih.