Undian Minggu Ke-4
Hafiz : 12%
Ebi : 10 %
Stacy : 9%
Estrange : 8%
Hazama : 8
Shila Amzah : 7%
Atilia : 6%
Akim : 6%
Jacyln : 6%
Awi Rafael : 5%
Alyah : 5%,
Adira : 5%
Aril : 4%
Kristal : 4%
Chaq : 4%
Pola undian berubah
PANAS, hebat dan bertenaga. Inilah penilaian yang dibuat sebaik menyaksikan konsert pertama Mania! yang dipancarkan secara langsung dari Dewan Seri Putra, Bukit Jalil menerusi saluran 104, Astro Ria, malam Sabtu lalu.
Seperti namanya, konsert pertama yang membariskan 15 artis mewakili tiga penerbit muzik tersohor iaitu Datuk M Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito yang dibahagikan kepada warna Biru, Hijau dan Merah ini berjaya mencetuskan mania di kalangan penyokong mereka yang memenuhi lokasi.
Pecahan artis dibahagikan kepada lima iaitu Stacy, Kristal, Shila Amzah, Hazama dan Ebi bernaung di bawah empayar M Nasir. Sementara Atilia, Akim, Estranged, Hafiz dan Aril di bawah Ahmad Dhani, manakala Alyah, Adira, Awi Rafael, Jaclyn Victor dan Chaq menjadi milik Aubrey Suwito.
Sebagai menunjukkan kesetiaan, mereka hadir membawa sepanduk bagi meniup semangat buat artis pujaan mereka. Paling jelas kelihatan sokongan di Dewan Seri Putra, banyak didominasi oleh artis kelahiran tanah Borneo iaitu Stacy, Ebi, Estranged, Adira, Chaq dan Hafiz.
Bagaimanapun, Chaq hanya mampu berada di konsert pertama dan belum sempat merasai keseronokan bertarung apabila ditunjukkan jalan keluar. Abang kepada Stacy ini mencatat undian paling rendah daripada peminat sebanyak 4 peratus.
Membawakan lagu Lelaki Seperti Aku nyanyian asal Alif Satar, Chaq yang menerima tepukan gemuruh penyokong kerana kelincahan gerak tarinya, gagal menyaingi kehebatan artis lain yang lebih berpaksikan kekuatan vokal. Mengakui sedih, dia akur dengan keputusan yang ditentukan sepenuhnya oleh penonton.
“Saya banyak belajar dengan Aubrey sejak menyertai program ini. Mungkin saya sukar untuk bersaing dengan peserta lain yang ada kelebihan dalam aspek vokal.
Mereka boleh dikatakan sudah lama menyanyi sedangkan saya sudah lama menyepi dan sekarang nak aktif semula. Bagaimanapun saya gembira kerana berjaya tubuhkan kelompok peminat baru yang menyokong saya.
“Saya dah berikan persembahan terbaik dan sekurang-kurangnya berbangga kerana penyingkiran ini secara bermaruah. Saya sedar selama ini sokongan pengundi Sabah terhadap saya agak kuat. Bagaimanapun penyertaan ramai peserta Sabah membuat undi ini berpecah. Saya akan meneruskan karier selepas ini di bawah pemerhatian Aubrey.
“Saya serahkan kepadanya untuk tentukan konsep muzik saya kerana dia lebih tahu sebagai pengarah muzik terkenal,” katanya yang cuba dibentuk membawakan konsep K-Pop oleh Aubrey.
Seperti yang diumumkan oleh pengacara Aznil Nawawi, pola undian sentiasa berubah membuatkan dia sering mengingatkan peminat agar segera mengundi artis pilihan mereka. Kedudukan selepas konsert berakhir menyaksikan Hafiz yang menyampaikan lagu Someone Like You nyanyian Adele, mengungguli carta dengan undian tertinggi sebanyak 12 peratus.
Ebi yang menyampaikan lagu Menyesal (6ixth Sense) meraih undi 10 peratus, Stacy (Toxic, 9%), Estrange (Nakal, 8%), Hazama (Kejoraku Bersatu, 8%), Shila Amzah (Hatiku Milikmu, 7%), Atilia (Gadis Semasa, 6%), Akim (Hey Jude, 6%), Jacyln (Terukir Di Bintang, 6%), Awi Rafael (Pokok, 5%), Alyah (Tanpa Kekasihku, 5%), Adira (Lagu Untukmu, 5%), Aril (Terbang, 4%) dan Kristal (Pawana, 4%).
Persembahan Adira sangat membanggakan Aubrey. Bagaimanapun kekecewaan jelas terbayang di wajahnya apabila Aznil mengumumkan artis di bawah empayarnya bakal tersingkir. Jelas kelihatan kesugulan apabila diminta mengumumkan sendiri artisnya yang tersingkir.
“Saya suka persembahan Adira kerana dia sangat berbakat. Persembahannya sangat berbeza berbanding ketika latihan dan dia antara artis yang hebat. Ini berbeza dengan Chaq yang kurang pengalaman dalam pertandingan sebegini. Dia ada potensi dan idea tapi sayangnya tak cukup untuk memenangi hati peminat.
“Saya rasa sangat kecewa kerana kurang seorang artis untuk bersaing dalam Mania! Kalau boleh, saya memang nak kelima-limanya masuk final,” katanya yang berharap dapat meneruskan kerjasama dengan Chaq selepas ini.
M Nasir pula berpuashati dengan prestasi artis di bawah kendaliannya.
Mengakui suka dengan persembahan Shila Amzah, dia gembira kerana barisan artisnya sudah menampakkan potensi.
Situasi ini turut dirasai oleh Ahmad Dhani yang kagum dengan persembahan anak didiknya. Dia yang juga menyukai persembahan Shila Amzah mengakui, ada di antara mereka yang kurang menyerlah pada minggu sebelumnya, memberikan persembahan di luar jangkaan.
Sebagai bonus buat peminat, persembahan Maher Zain turut ditampilkan pada malam itu. Dia menyampaikan lagu daripada album terbarunya, Number One For Me khas buat peminat yang menonton.
--------------------------
Entri menarik yang perlu korang terjah :
2. Lelaki Kacak
No comments:
Post a Comment
Penulis tidak bertanggungjawab atas apa-apa komen yang ditinggalkan oleh pembaca / pengunjung. Semua komen adalah di bawah tanggungjawab mereka. Sila gunakan bahasa yang sopan. Terima kasih.