Wednesday, 21 December 2011

Saintis temui dua planet baru bersaiz bumi

NEW YORK : Saintis menemui dua planet bersaiz bumi yang yang berada di orbit bintang di luar sistem solar, sekali gus petanda positif dalam misi penerokaan mencari planet baru yang boleh didiami manusia selain bumi.

Penemuan itu menunjukkan planet seperti itu wujud dan ia boleh dikesan, kata saintis, Francois Fressin dari Pusat Kajian Astrofizik Harvard-Smithsonian.

Beliau berkata, kedua-dua planet itu tergolong sebagai planet terkecil dalam orbit bintang yang mengelilingi matahari yang dikesan setakat ini.
Saintis sejak sekian lama berusaha mencari planet berpotensi bersaiz bumi yang boleh dihuni manusia dan mahluk bernyawa lain.

Penemuan Fressin itu dilaporkan dalam jurnal online - Journal Nature semalam.

Satu daripada planet itu hanya tiga peratus lebih besar daripada ukur lilit bumi manakala satu lagi antara 10 peratus lebih besar dari bumi.

Kedua-dua planet itu dilaporkan mempunyai permukaan batu-batan yang mirip bumi. 
"Namun suhunya terlalu panas untuk membolehkan hidupan bernyawa tinggal kerana suhunya dianggarkan antara 815 hingga 426 darjah selsius," kata Fressin.

Beliau berkata, jika adapun tumbuhan atau hidupan bernyawa di planet itu, ia kemungkinan sebagai bakteria atau hidupan yang tidak diketahui.

Sejak NASA menjalankan misi mencari planet baru menerusi teleskop gergasi Kepler, agensi angkasa itu sudah menemui puluhan planet bersaiz bumi.

Namun penemuan Fressin itu adalah yang pertama mempunyai pengesahan, kata Alan Boss dari Institut Sains Carnegie di Washington. 

Beliau juga salah seorang anggota pasukan saintis Kepler.

Kedua-dua planet itu dinamakan sebagai Kepler-20e dan Kepler-20f. - AP

Sumber : Berita Harian 21/12/2011

1 comment:

Penulis tidak bertanggungjawab atas apa-apa komen yang ditinggalkan oleh pembaca / pengunjung. Semua komen adalah di bawah tanggungjawab mereka. Sila gunakan bahasa yang sopan. Terima kasih.