Apabila lagu ‘Pokok’ tidak tersenarai sebagai calon Top 5 pada pusingan kedua Muzik-Muzik Separuh Akhir minggu lalu, ramai yang mempertikaikannya. Rata-rata peminat Meet Uncle Hussain (MUH) kecewa kerana lagu ini ditumpaskan oleh lagu ‘Cinta Muka Buku’ yang dianggap tidak layak mara ke Anugerah Juara Lagu ke 26 (AJL 26). Walaupun ramai yang tahu keputusan itu dibuat oleh barisan juri profesional, tetapi mereka masih tidak puas hati.
Selain itu, ada juga sebilangan peminat yang berpendapat kegagalan ‘Pokok’ berpunca daripada Nubhan. Mereka berpendapat Nubhan tidak boleh menyanyikan lagu itu dengan baik seperti yang dilakukan oleh penyanyi asalnya, Hazama.
Pendapat ini bagaimanapun disangkal oleh komposer lagu ini, Taja. Jelas Taja, Nubhan tidak boleh dipersalahkan kerana dia sudah melakukan yang terbaik.
“Saya rasa tidak wajar hendak menyalahkan Nubhan dalam hal ini. Lagipun AJL adalah mempertandingkan lagu bukan penyanyi. Jadi, tidak menjadi isu kalau lagu ini dinyanyikan oleh penyanyi lain. Memang Nubhan tidak boleh menyanyi sama seperti Hazama, tetapi Nubhan telah melakukan yang terbaik. Saya harap peminat di luar sana tidak terus menyalahkan Nubhan. Saya bagi pihak MUH dan Nubhan ingin mohon maaf sekiranya persembahan kami pada malam itu tidak memuaskan hati,” ujar Taja yang ditemui di Malam Mesra MACP kelmarin.
Dalam masa yang sama, Taja juga memberitahu yang Nubhan sendiri berasa sangat bersalah apabila ‘Pokok’ tidak tersenarai.
“Selepas acara berakhir minggu lalu, Nubhan beberapa kali meminta maaf kepada kami kerana merasakan dirinya adalah punca kegagalan MUH. Tapi, kami sudah jelaskan kepada Nubhan yang kami tidak beranggapan sebegitu. Sebaliknya, kami anggap tidak ada rezeki,” ujar Taja lagi.
Ditanya sama ada dia berpuas hati dengan keputusan juri pada malam itu, Taja tanpa berdolak-dalik mengakui dia tidak mahu memperbesarkan perkara itu. Baginya, kalau MUH ada rezeki, mereka pasti akan ke AJL. Jika tidak, dia dan kawan-kawan yang lain pun tidak kisah.
“Saya tidak mahu terlalu berharap mendapat anugerah kerana dalam berkarya ini kita harus ikhlas. Kalau asyik mengejar anugerah, nampak macam tidak ikhlas pula. Saya buat lagu kerana saya memang minat dengan muzik, bukan bertujuan mencari anugerah. Seandainya ‘Pokok’ tidak berjaya, saya menerima keputusan itu dengan seadanya. Mungkin lagu itu gagal memenuhi kriteria yang diperlukan oleh barisan juri.
Secara peribadi dan sebagai penulis lagu, saya melihat ada di antara lagu-lagu Top 5 itu tidak patut tersenarai. Tetapi, saya tidak mahu sebutkan judulnya. Lagu-lagu yang terpilih pada malam itu agak pelik sedikit kerana ada di antaranya tidak mempunyai elemen baru. Walau apa pun, saya hormati keputusan juri. Mungkin mereka lebih jelas tentang arah tuju AJL,” ulas Taja berterus-terang.
Jumaat ini, pihak produksi AJL 26 akan mengumumkan 12 lagu yang layak bertanding ke acara hiburan yang paling dinanti-nanti itu. Adakah ‘Pokok’ berjaya menempatkan diri? Sama-sama kita nantikan keputusannya.
Resource :
No comments:
Post a Comment
Penulis tidak bertanggungjawab atas apa-apa komen yang ditinggalkan oleh pembaca / pengunjung. Semua komen adalah di bawah tanggungjawab mereka. Sila gunakan bahasa yang sopan. Terima kasih.